Friday 20 April 2012

Pernikahan Ibadat Yang Mengubah Adat

Hantaran Tinggi, Budaya ataupun Desakan?

Persepsi masyarakat kepada hantaran tinggi kepada bakal pengantin perempuan adalah isu masyarakat yang perlu difahami akar umbinya. Keputusan meletakkan jumlah hantaran tidak tertakluk kepada satu-satu sebab sahaja,ia berpunca daripada pelbagai faktor.

Punca paling popular diperkatan sebab kepada jumlah hantaran tinggi adalah keputusan ditentukan oleh ahli keluarga dan sanak saudara. Jarang sekali kita mendengar pengantin perempuan menjadi titik punca kepada keadaan ini.
 
Betul ataupun Salah, Apa Alasan Di Sebaliknya?

Adalah sukar mengatakan amalan meletakkan nilai hantaran yang tinggi sebagai sesuatu yang salah. kita perlu berbalik kepada alasan di sebalik keputusan tersebut dibuat. faktor keperluan serta tuntutan kos majlis yang semakin tinggi menjadi punca keadaan ini berlaku. Meletakkan nilai hantaran tinggi juga selalu disinonimkan dengan usul-usul pengantin dan ahli keluarganya. 

Jika sesuatu nilai hantaran ditentukan, tidak kurang ada yang bertanya dari mana pengantin itu berasal. Segelintir keluarga percaya bahawa ada negeri tertentu sinonim denga nilai hantaran tinggi. Apabila keadaan ini berlaku, keluarga pihak lelaki seolah-olah dapat menjangka apa yang dikehendaki dari pihak sebelah perempuan. 

Rasional dan Berpada-pada

Majoriti lelaki suka dengan nilai hantaran yang berpada-pada. Tidaklah bermaksud dengan meletakkan nilai yang rendah sangat. Jika dapat disesuaikan dengan kemampuan lelaki menampung kehidupan selepas berumahtangga, ia tentu memberi motivasi dan kekuatan kepada pihak suami untuk memberi yang terbaik. 

Mencabar ataupun Menolak Secara Diam

Tidak kurang juga nilai hantaran tinggi menjadi cabaran yang disukai. meskipun ia kedengaran aneh, tetapi bagi sebahagian lelaki kemampuan untuk memenuhi nilai hantaran tersebut seolah-olah menjadi pertandingan mengatasi dirinya sendiri dan menguji sejauh mana dirinya mampu memenuhi permintaan tersebut.

Hantaran Tinggi dan Kos Masa Bertambah

Hantaran tinggi biasanya menyebabkan bakal pengantin mengambil masa yang lama membuat persediaan. Ia berbalik kepada jumlah simpanan yang perlu  lelaki penuhi bagi memenuhi impian berumahtangga. Amalan biasa golongan bujang yang bekerja mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis simpanan di institusi kewangan. Daripada satu sumber simpanan itulah pelbagai jenis perbelanjaan mengalir. Semakin tinggi hantaran maka semakin lama masa diambil untuk lelaki mendirikan rumahtangga. Tidak kurang juga kelewatan berumahtangga menjadikan lelaki semakin kurang berminat meneruskan hasrat tersebut dan menumpukan kepada karier.

Apabila Hutang Menjadi Kunci Pintu Kebahagiaan

Isu hantaran tinggi ini menjadikan orang lelaki lebih banyak berfikir apa dan bagaimana alternatif lain yang perlu diambil untuk berhadapan dengan keadaan ini. Jika dahulu, simpanan wang bekerja dijadikan sumber utama. Ia kemudian bertambah dengan pilihan demi mencari sumber kerja lain ataupun bekerja lebih masa. Tidak dinafikan ada yang mula menjadikan pinjaman peribadi di institusi kewangan sebagai cara. Malah kad kredit juga sebagai alternatif golongan muda hari ini.

Sepakat Yang Mendamaikan

Isu hantaran tinggi ini dapat dirungkai dengan kata sepakat kedua-dua pihak melibatkan bakal pasangan dan perubahan perspektif ibu bapa serta sanak saudara bakal pasangan yang perlu bersandarkan kepada rasional di sebalik nilai setiap ringgit yang ditentukan mereka.

Kita harapkan selepas majlis perkahwinan, si suami boleh senyum lebar dan gembira. Tidaklah masam mencuka dan kusut memikirkan wang yang dipinjam demi berumahtangga. Jika ini berlaku, di mana bahagianya? Jadi, tepuk dada tanyalah hati....sama-sama kita renung dan fikir-fikirkan.....

Sumber Original:  "Berbunga Cinta Aisyah Di Hati Rasulullah"....(tidak rugi anda membaca buku ini,dapatkan segera di pasaran).
 














No comments:

Post a Comment